NORDIN BATIK SDN BHD
(oleh : Noor Iskandar Dzulkernain Shah)
PENGENALAN
Bidang keusahawanan
merupakan salah satu bidang yang sangat penting bagi mana-mana negara di dunia
ini. Ini kerana keusahawanan merupakan salah satu bentuk disiplin ilmu yang menjadi
tonggak kepada perkembangan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah
negara. Masyarakat yang mempunyai paling ramai usahawan dianggap sebagai sebuah
kumpulan masyarakat yang sempurna, berbakat, berdisiplin, berdikari, berjaya
dan lebih maju dari segi perkembangan mental dan sosio-ekonominya. Menjadi
seorang usahawan yang berjaya bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, ianya juga
bukanlah satu tugas yang sukar untuk dicapai. Dalam membentuk individu menjadi
seorang usahawan berjaya, mereka haruslah memahami konsep asas keusahawanan dan
memiliki ciri-ciri yang seharusnya ada pada usahawan berjaya. Golongan usahawan
memainkan peranan di dalam membantu menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan
meningkatkan daya inovasi sesebuah negara. Ini kerana, tanpa kehadiran
usahawan, maka banyak sumber alam tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya, dan
kerugian sumber akan berlaku. Usahawan juga merupakan daya penggerak penerokaan
bidang-bidang baru dan terkini selari dengan kehendak masyarakat. Peranan
usahawan itu sendiri dalam menyediakan menyediakan ruang-ruang dan
peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat sekeliling tidak
boleh dipertikaikan. Justeru itu, usahawan dianggap sebagai pemangkin dan
pemacu terpenting dalam proses pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan
kehadiran usahawan sememangnya amatlah diperlukan.
Tugasan ini membincangkan
hasil temuramah saya bersama usahawan batik yang berjaya di Kelantan iaitu Tuan
Haji Nordin Bin Mahmood. Tugasan ini juga menghuraikan ciri-ciri yang ada pada beliau sehingga
menjadi seorang usahawan batik yang berjaya bukan sahaja di negeri Kelantan
malah di Malaysia.
BIODATA
TUAN HAJI NORDIN BIN MAHMOOD
Tuan Haji Nordin Bin
Mahmood, dilahirkan pada 24 September 1949, di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu,
Kelantan berusia 67 tahun merupakan Pengerusi Eksekutif Wisma Nordin Group.
Beliau menetap di Lot 1905, Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian, Kota Bharu,
Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Padang Garong, Kota Bharu
dan beliau telah melanjutkan pelajarannya di Sultan Ismail College (SIC).
Penglibatan beliau di dalam bidang batik mula timbul sejak dari zaman
kanak-kanaknya lagi, di mana beliau telah terdedah kepada dunia batik.
Sebenarnya, batik telah menjadi sebahagian daripada hidup Tuan Haji Nordin
kerana bapanya, iaitu Haji Mahmood bin Muhammad sendiri adalah seorang penggiat
batik di sekitar awal 40-an. Haji
Mahmood telah menjadikan batik sebagai sumber pendapatan utama keluarga dengan
membuat sarang batik (batik cop) dan mengusahakan batik secara tradisional di
bawah rumahnya, di Jalan Gajah Mati bersama seorang pekerja, yang mana ia
diusahakan secara kecil-kecilan.
Berkat dari pemerhatian
sejak kecil, minat Tuan Haji Nordin terhadap batik mula tersemai. Pada tahun
1963, beliau telah mula membantu bapanya di dalam pembatikkan, dan kemudian
telah keluar mencari pengalaman berniaga batik bersama bapa saudaranya sendiri,
Tuan Haji Muhammad Amin bin Idris. Pada tahun 1968 hingga 1972, beliau bekerja sebagai
jurujual di kedai bapa saudaranya yang terletak di Pasar Lama Kota Bharu, atau
lebih dikenali sebagai ‘Pasar Zink Merah’. Dalam tempoh tersebut, beliau
merebut peluang untuk mencari pengalaman dalam bidang perniagaan batik.
Selepas lebih empat tahun
bekerja sebagai jurujual, Tuan Haji Nordin telah membuat keputusan untuk
mengambil upah membuat batik sendiri, sekaligus mewarisi tradisi batik dari
bapanya. Dengan bermodalkan RM500.00, beliau telah membuka tapak di Kampung
Sireh dengan menubuh sebuah kilang dan diusahakan dengan dibantu oleh tiga orang
pekerja.Beliau membuat batik secara mengambil upah dari pembatik-pembatik di
sekitar Kota Bharu selama lebih kurang lima belas tahun. Berkat kesabaran,
komited yang tinggi, dan idea yang kreatif, beliau berjaya bertahan dan muncul
sebagai penggiat batik yang tersohor di Kelantan.
Pada tahun 2002, beliau
memenangi tempat kedua bagi Anugerah Tokoh Usahawan Kraf 2002 Peringkat Akhir,
sebagai ahli Persatuan Pembatik-pembatik Kelantan dan aktif sebagai ahli
persatuan amal. Sebagai seorang ketua keluarga, beliau merupakan seorang suami
dan bapa yang penyayang dan bertanggungjawab. Isteri beliau, Puan Hjh. Asiah Bt
Mohd Zain, merupakan pengurus pusat jualan Nordin Batik di Bazaar Buluh Kubu.
Bapa kepada enam orang cahaya mata ini, telah berjaya membesarkan anak-anak
beliau, dan menjadikan mereka sebagai bakal pewaris kepada perniagaan beliau,
yang mana anak sulung beliau, Azlinda bt. Nordin telah dilantik sebagai
Pengurus Showroom Nordin Batik Sdn. Bhd,
anak keduanya iaitu Fadli B. Nordin di pertanggungjawabkan menjaga dan
menyelia kilang kedua yang terletak di Kg. Penambang, Jalan PCB, Kota Bharu,
manakala anak ketiganya iaitu Azlizan Bt Nordin pula bertindak sebagai Pengurus
Pentadbiran Paloh Inn. Aziana Bt Nordin pula merupakan anak ke empat
,memperolehi Diploma Kesetiausahaan daripada Universiti Teknologi MARA Cawangan
Dungun, Terengganu. Manakala anaknya yang kelima iaitu Mohd. Faizal,
bertanggungjawab ke atas kerja-kerja pembinaan bagi projek terbaru Tuan Haji
Nordin iaitu industri burung layang-layang. Seterusnya anak bongsu beliau, Nur
Afiqah masih lagi menuntut di institusi pengajian tinggi.
LATAR
BELAKANG SYARIKAT NORDIN BATIK SDN BHD
Nordin Batik Sdn Bhd adalah sebuah syarikat bumiputera hak milik
penuh dan beroperasi di bawah naungan Tn
Haji Nordin b. Mahmood. Ianya telah ditubuhkan pada tahun 29 Oktober 1993.
Nordin Batik telah menjadi syarikat batik yang terulung di negeri Kelantan
apabila wujudnya Wisma Nordin yang terletak pada di Lot 74, Kampung Paloh Pintu
Geng, Kota Bharu, Kelantan yang mana bernilai lebih dari 2 juta.
Setelah melalui pelbagai rintangan dan jatuh bangun dalam
industri batik serta mendapat persaingan yang sengit daripada
pengusaha-pengusaha batik disekitar Kota Bharu, Tuan Haji Nordin telah
mengambil langkah yang berani pada masa yang tepat untuk mengembangkan lagi
empayar perniagaannya dengan menubuhkan Wisma Nordin. Di bangunan Wisma Nordin
juga terletaknya Showroom Nordin Batik iaitu merupakan sebuah pusat jualan
kraftangan yang pertama seumpamanya di Bandar Kota Bharu.
Tuan Haji Nordin juga terus mengusahakan produk ini kerana ianya
telah menjadi sebahagian daripada hidup beliau selain bagi membangunkan produk
tempatan supaya lebih dikenali penduduk serta pelancong.
CIRI-CIRI
USAHAWAN YANG ADA PADA TUAN HAJI NORDIN
Hasil daripada pemerhatian
dan temuramah bersama Tuan Haji Nordin, dapat di simpulkan di sini ciri-ciri
usahawan yang ada pada diri beliau yang mana telah menjadikan beliau seorang
usahawan batik yang berjaya.
1.
BERINISIATIF
Tuan Haji Nordin adalah
seorang usahawan yang mempunyai inisiatif untuk memulakan dan mewujudkan
industri batik di Kelantan walaupun pada masa itu tidak ramai pengusaha batik
di Kelantan. Beliau telah pun memulakan perusahaan batik ini semenjak 1972, bertempat
di Kampung Sireh, Kota Bharu dengan 3 orang pekerja. Pengeluaran pada masa itu
bertumpukan kepada batik sarong dan batik ela.
Pada tahun 1993, beliau
menubuhkan syarikat Nordin Batik Sdn Bhd bagi tujuan mengilang dan mengedar
batik tradisional untuk pasaran di dalam dan di luar negeri Kelantan. Ianya
ditubuhkan tambahan kepada perniagaan yang dahulunya didaftarkan dibawah
Ordinan Perniagaan 1956 sebagai pemilik tunggal pada 1hb. Sept. 1981. Dengan
kegigihan dan ketabahan pemiliknya, syarikat ini telah berkembang maju tahun
demi tahun di dalam perusahaan batik tradisional.
Beliau bersikap proaktif dengan mencari
peluang dalam pasaran serta memenuhi permintaan pasaran bergantung kepada corak
batik terkini untuk bersaing dengan pengusaha tempatan yang lain. Beliau juga
mencari maklum balas dari pelanggan untuk memenuhi permintaan baru pelanggan.
2. BERSIKAP TRANSFORMASI
Pada awalnya, pengilangan
dibuat dengan 15 orang pekerja. Syarikat mendapat bekalan kain putih dari Koperasi Pembatik - Pembatik Kelantan Berhad
untuk mengilang batik sarong dan batik ela. Tahap pengeluaran adalah sebanyak
15-20 pasang sehari. Kerja-kerja ini dilakukan secara mengambil upah dari
pembatik-pembatik di sekitar Kota Bharu. Syarikat terpaksa berpindah ke Kampung
Pintu Geng, Kota Bharu, kerana proses pembesaran di mana tempat lama didapati
tidak lagi sesuai kerana sempit. Pada masa tersebut, bilangan pekerja telah
meningkat lebih dari 50 orang dengan kuantiti pengeluaran melebihi 100 meter
sehari.
Syarikat memasuki era baru
di dalam industri batik tradisional dengan mengeluarkan batik tulis yang
terdiri dari kain sutera Jacquard, Rayon Jacquard dan Rayon Fuji.
Syarikat telah dilesenkan
sebagai pengilang berlesen dibawah
Seksyen 13, Akta Cukai Jualan. Syarikat telah diberi kebenaran oleh Jabatan
Kastam dan Eksais DiRaja untuk mengimport kain putih dari China dan Singapura
tanpa bayaran cukai jualan. Di samping itu, syarikat juga diberi pengecualian
duti import oleh Perbendaharaan Malaysia untuk tujuan yang sama. Jumlah pekerja
meningkat kepada 80 orang dan pengeluaran meningkat kepada 120 pasang sehari
(480 meter). Bilangan pekerja bertambah kepada 110 orang seiring dengan
pertambahan permintaan di mana pengeluaran meningkat kepada 440 pasang sehari
(1760 meter). Syarikat telah menambahkan bilangan pekerja kepada 140 orang
dengan purata pengeluaran di antara 550 – 750 pasang sehari dengan penggunaan
kain putih di antara 2200 hingga 3000 meter sehari dan semuanya adalah terdiri
daripada kain sutera yang diimport terus daripada negara China.
3.
PEKA DENGAN PENGARUH PERSEKITARAN
Perkembangan fesyen terkini
menjadikan industri batik semakin berkembang dengan pelbagai idea yang
dihasilkan oleh pelukis batik adalah sangat berdaya saing. Ini salah satu
faktor mengapa pengurusan harus sentiasa peka dengan keadaan semasa.
Persekitaran memainkan peranan penting dan amat dititikberatkan oleh Tuan Haji
Nordin dalam memastikan kualiti batik yang dihasilkan benar-benar memberi
kepuasan kepada citarasa pelanggan. Syarikat beliau sentiasa bertungkus lumus
bagi memastikan produk mereka sentiasa mendapat tempat dihati pelanggan dengan
pelbagai variasi corak yang terbaru dan terkini.
Beliau juga memastikan suasana
tempat mencanting batik atau tempat
melukis batik mempunyai ruang yang mencukupi dan luas supaya ianya dapat
memberi keselesaan kepada pelukis batik agar dapat menterjemahkan serta
menghasilkan batik yang bermutu nilainya.
4.
KEUPAYAAN MENGURUS
Tidak semua orang boleh
mengurus. Tuan Haji Nordin berkebolehan untuk merancang, mengorganisasi,
mengarah dan mengawal aktiviti-aktiviti perniagaan beliau sehingga kerkembang
sehingga ke hari ini. Aspek pengurusan yang ada pada beliau berjaya menaikkan
imej syarikat, membentuk disiplin para pekerja dan seteruskan menjadikan mereka
pekerja yang cekap dan efisyen. Selain daripada itu, para pekerja dilatih untuk
mengetahui tentang mutu kain, warna, fabrik dan sebagainya.
Secara tidak langsung,
beliau bejaya membantu ekonomi masyarakat tempatan dengan memberi peluang
pekerjaan kepada mereka dalam penghasilan produk batik.
Beliau juga memastikan
setiap produk yang dihasilkan disusun dengan lebih teratur, lebih kemas agar ianya
mampu menarik minat pelanggan untuk melihat hasil keluaran batik.
5.
MENYELESAIKAN MASALAH SECARA KREATIF
Kebanyakan masalah pengusaha
batik adalah bermula daripada persaingan dalam pasaran. Selain itu, lokasi
firma haruslah strategik dan memudahkan para pelanggan untuk singgah selain
kurangnya publisiti, iklan serta promosi. Selain itu, masalah faktor cuaca
menjadi pemangkin kepada warna dalam menghasilkan corak dan batik yang menarik
serta eksklusif. Selain itu, masalah kelembapan dan kegawatan ekonomi telah
melanda negara, semua perniagaan menjadi lembap, begitulah juga dengan
perniagaan industri batik menerima nasib yang sama.
Walau bagaimanapun dengan
pengalaman yang ada pada En. Nordin Mahmood, beliau masih lagi bertahan untuk
mengeluar dan memasarkan keluaran kilang beliau. Di samping itu, beliau juga
telah berjaya mengubah haluan corak batik daripada corak lukis tangan kepada
corak stensil (skrin printing – manual) yang menjadi kesukaan orang ramai.
Skrin printing menggunakan meja meja panjang dan mampu mengeluarkan 2000 meter
sehari jika perlu.
6.
MENITIKBERATKANMUTU KERJA YANG TINGGI
Tuan Haji Nordin sentiasa
memberi peluang kepada pekerja beliau untuk mencurahkan idea mereka bagi
menghasilkan batik yang lebih bermutu. Menurut beliau, semangat harus diberikan
kepada mereka bagi mendapatkan hasil kerja yang lebih baik. Di samping itu, syarikat
juga menggunakan mesin clureng dari Pekalongan, Indonesia untuk proses
pengeringan dan mesin ini mempunyai pengilat khusus untuk pengeluaran batik
sarong dan batik jawa tulin.
Beliau juga sentiasa
mengenal pasti jenis kain yang bermutu dan diimport. Kebanyakan kain yang
diimport adalah dari China. Jenis kain juga dikelaskan mengikut gred-gred yang
tertentu. Gred yang mahal akan menghasilkan batik yang mahal dan bermutu
nilainya.
7.
MENCARI PENGALAMAN DAN MAKLUMAT
Mengikut cerita Tuan Haji Nordin, beliau mula berjinak dengan
batik sejak tahun 1963, di mana beliau bermula dengan membantu bapanya membuat
batik dan kemudian telah keluar mencari pengalaman berniaga batik dengan bapa
saudaranya. Setelah lebih empat tahun sebagai jurujual, Tuan Haji Nordin telah
membuat keputusan untuk mengambil upah membuat batik sendiri, sekaligus
mewarisi tradisi batik daripada bapanya. Beliau telah membuka tapak di Kampung
Sireh dengan menubuh sebuah kilang dan diusahakan dengan dibantu oleh tiga
orang pekerja menggunakan wang simpanannya sendiri. Beliau juga mengambil upah
daripada pembatik-pembatik disekitar Kota Bharu.
Belia juga sentiasa mencari maklumat melalui bengkel dan seminar
yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan dan swasta bagi menambahkan lagi ilmu dalam
bidang tersebut. Melalui bengkel dan seminar,
penganjur akan kongsikan idea mereka
dalam menghasilkan tahap batik yang tinggi nilai komersialnya. Oleh itu, para
pengusaha batik berjaya menghasilkan pelbagai corak sama ada bebas, abstrak
atau tumbuh-tumbuhan mengikut gaya semasa dan terkini.
Di samping itu, Tuan Haji
Nordin juga pernah menyertai pameran di ekspo kraftangan sama ada di peringkat
negeri atau kebangsaan dan menempatkan beberapa orang wakil yang mampu
memberikan maklum balas kepada para pelanggan dan pencinta batik.
8.
BERORIENTASIKAN MASA DEPAN
Belia bertanggungjawab
mewujudkan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya batik kerana ianya
menggambarkan budaya kita sebagai orang
Melayu yang tidak dapat dipisahkan dengan batik selamanya. Pada tahun
2003 telah menyaksikan kejayaan besar dalam sejarah perniagaan bagi Tuan Haji
Nordin. Setelah melalui pelbagai rintangan dan jatuh bangun di dalam industri
batik serta mendapat persaingan yang sengit dari pengusaha-pengusaha batik
profesional di sekitar Kota Bharu, beliau telah mengambil langkah yang berani mengembangkan lagi empayar
perniagaannya dengan menubuhkan WISMA NORDIN pada pertengahan 2003, di mana
ianya terbahagi kepada beberapa cabang perniagaan, iaitu ruang pameran dan
pusat jualan kraftangan (SHOWROOM NBSB), tempat penginapan dengan bilik berhawa
dingin serta kemudahan yang selesa (PALOH INN), dewan untuk pelbagai kegunaan
(DEWAN CENGKIH) dan sektor pemaju perumahan (NBM ENGINEERING & DEVELOPMENT)
yang dibina di atas tapak dengan keluasan 2 ¼ ekar di alamat 74, Kg. Paloh
Pintu Geng, 15050 Kota Bharu, Kelantan.
Pada masa yang sama, pihak kerajaan telah mengadakan kempen penggalakkan
pemakaian batik di kalangan kakitangan kerajaan dan juga swasta sebagai
sebahagian pakaian rasmi semasa bekerja. Hasil dari galakan daripada kerajaan
juga, industri pembatikkan Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang
positif. Usaha ini disambut baik oleh seluruh pengusaha batik, dan pihak
syarikat Tuan Haji Nordin juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan produk yang
lebih baik, mempelbagaikan corak dan fabrik kain demi memenuhi permintaan
pasaran yang semakin meningkat.
9.
KREATIF DAN INOVATIF
Tuan Haji Nordin mewujudkan
idea-idea baru untuk dihasilkan bagi menjamin mutu batik yang tinggi. Banyak
peluang telah diketengahkan dan produk ini bukan sahaja setakat kain atau
kemeja batik sahaja, beliau telah memperkenalkan produk baru berasaskan batik
seperti lampu, kotak, pensel, payung dan pelbagai barangan lain yang
mempamerkan ciri-ciri batik. Beliau juga menggunakan teknologi terkini dalam
penghasilan batik dimana kebanyakan corak batik dihasilkan menggunakan
komputer. Dengan pengguna teknologi terkini, Syarikat beliau berkemampuan
mengeluarkan teknik lukisan batik secara digital. Mengikut beliau, sebenarnya
banyak cara yang boleh diketengahkan dalam menghasilkan produk batik yang lebih
berkualti dan bermutu.
KESIMPULAN
Usahawan yang mengusahakan
batik merupakan seseorang yang berfikiran kreatif, inovatif dan bersedia
mengambil risiko dalam mengusahakan usaha teroka yang diceburinya. Usahawan
akan cuba menghasilkan idea-idea perniagaan yang baru, mengoptimumkan
penggunaan sumber-sumber yang sedia ada dalam membangunkan perniagaannya
sehingga berjaya. Usahawan juga dikatakan mencipta kekayaan dari hasil usaha
terokanya. Peranan usahawan adalah sangat penting dalam membina masyarakat yang
sempurna dan sihat. Pihak kerajaan telah mewujudkan banyak program-program bagi
menggalakkan penyertaan individu sebagai usahawan. Persediaan untuk menjadi
usahawan bolehlah diibaratkan sebagai langkah bersiap sedia menuju medan
perang. Individu yang terlibat hendaklah mempastikan bahawa mereka bukan sahaja
mempunyai kelengkapan fizikal yang standing dengan musuh dalam bidang
perniagaan yang akan diceburi tetapi juga mempunyai kekuatan spiritual dan
mental yang seimbang dengan cabaran yang akan ditempuhi. Walaupun kerjaya
sebagai usahawan sesuatu yang dianggap mencabar, namun pada masa yang sama
hasil dan ganjarannya amatlah memberangsangkan.Untuk menjadi seorang usahawan
yang berjaya, seseorang individu itu perlu mempunyai ciri-ciri unik seorang
usahawan. Ciri-ciri inilah yang membezakan individu yang bergelar usahawan
dengan bukan usahawan. Seseorang usahawan itu boleh menjadi seorang pengurus
dan peniaga kecil, namun belum pasti mereka ini
boleh menjadi usahawan yang berjaya. Profil usahawan berjaya boleh
dijadikan contoh dan sumber inspirasi kepada seseorang individu dalam mengejar
cita-citanya menjadi usahawan berjaya dan cemerlang.
Assalam..boleh saya tahu bila tahun artikel ini ditulis?
ReplyDelete